Thursday, April 17, 2008

Gunung Jerai Atau Alam Lain?

Satu hari, 2 tahun lepas aku telah mengikut seorang sahabat yang aku gelar sebagai “ustaz”. Aku telah mengikut ustaz mendaki Gunung Jerai bersama 4 orang lagi. Kawan ku, Bidin dan isterinya, Huda, Salman, adik Huda dan seorang pembantu ustaz. Kami berenam menaiki kereta ke kaki Gunung Jerai pada satu petang Sabtu. Kami sampai lebih kurang jam 4.30 petang. Cuaca agak panas ketika itu. Awan nampak mendung. Mungkin sudah dekat waktu untuk awan menurunkan hujan. Kami meletakkan kereta di satu kawasan berdekatan pondok tepi jalan. Pondok ini terletak di tepi jalan yang menghala ke puncak gunung. Aku tak tau kenapa ustaz meletakkan keretanya di pertengahan jalan sedangkan puncak gunung jauh lagi. Ketika kami sampai ke pondok berehat hujan mula turun. Hujan turun dengan lebatnya selepas itu..

Ustaz menyuruh kami memakai jaket dan memastikan kami membawa segala keperluan mendaki seperti lampu suluh dan parang atau pisau. Aku bingung sebab ustaz mahu mendaki ke puncak mengikut jalan lain, jalan yang mungkin orang lain tak pernah lalu. Aku bertanya ustaz berapa lama perjalanan mendaki. Ustaz kata dalam 40 minit ke satu jam. Huh. Aku tak ada problem dengan rancangan ustaz. Semua yang lain mengikut saja. Di dalam hujan lebat kami memulakan pendakian. Kami meredah dan melalui hutan kecil dan semak. Aku terasa pelik sebab sepatutnya mendaki maksudnya menghala ke atas bukan ke bawah. Rupa-rupanya ustaz mencari satu tempat di mana pendakian boleh di lakukan dalam masa yang cepat. Di dalam perjalanan kami terserempak dengan seorang lelaki di dalam khemah berlindung dari hujan. Dia menyembunyikan diri bila ternampak kami. Ustaz cuba mengejar lelaki itu tetapi dia sudah hilang di dalam hujan dan hutan. Mungkin pencari hasil-hasil hutan agaknya.

Aku menjangkakan ketika itu kami sudah sampai setengah jarak pendakian. Hujan mula reda. Waktu lebih kurang jam 5.30 petang. Ustaz sentiasa di depan sebab dia seorang saja yang tahu jalannya. Aku kadang-kadang mengikut di belakang ustaz sebab dia suka bercerita mengenai pengalamannya. Ada satu ketika aku terasa mahu buang air kecil. Almaklumlah hari hujan, sejuk, dan sebelum mendaki gunung aku dah minum banyak air sebab cuaca panas. Aku tanya ustaz macamana adab nak bunag air kecil dalam hutan. Dia suruh mintak izin dengan penghuni yang ghaib. Aku sebenarnya tak tau nak cakap macamana. Kalau masuk tandas awam aku tak payah tanya ”Boleh kencing tak kat sini?” pada penjaga tandas. Hehehe. Yang ini pengalaman pertama. Hmm. Aku pun tanpa segan silu bagi ucap salam pada penjaga hutan yang ghaib. Nasib baik tak ada orang yang menyahut salam aku, kalau tak aku tak payah minta izin terus terkencing kat situ jugak. Hehe.

Disebabkan aku menunaikan hajat, aku tertinggal kat belakang. Di depan aku pembantu ustaz, Rahim, berjalan dengan keadaan cepat. Kontor tanah semakin curam. Susah juga nak menapak dalam keadaan tanah licin. Aku mendaki laju dan memotong yang lain untuk mengejar ustaz. Aku ingin mendengar dia berborak. Banyak cerita-cerita pelik. Ustaz pernah beritahu yang dia pernah tinggal di puncak Gunung Jerai selama 3 bulan tanpa turun ke bawah gunung. Aku bertanya macamana dia cari makanan bila dia terasa lapar. Ustaz kata ada orang yang hantar. Aku tanya orang tu hantar tiap-tiap hari ke? Macamana tu, nak mendaki lagi, nak turun lagi? Breakfast? Lunch? Dinner? Mesti orang tu di bayar gaji tinggi. Ustaz kata ”Tak. Ada orang ghaib yang hantar dulang berisi makanan tiap-tiap hari sekali.” Haaah. Aku terdiam. ”Betul ke ni?” Usatz kata dia ada sahabat-sahabat di atas gunung. Amazing. Ustaz kata dia boleh tunjukkan pondok tempat dia tinggal.

Dalam perjalanan aku merasa seram sejuk. Usatz berhenti beberapa kali untuk menunjukkan pokok-pokok hutan yang boleh di buat ubat. Dia berhenti seketika untuk mencabut satu pokok kecil, batangnya sebesar ibu jari orang dewasa. Cara mencabut tongkat ali ialah dengan membelakangkan pokok dan mencabutnya dengan tangan ke belakang. Usatz kata pokok itu dinamakan Tongkat Ali. Usatz kata pokok yang dikatakan ”tongkat ali” di dalam bentuk kopi komersial bukanlah sebenarnya tongkat ali tetapi pokok pasak bumi. Tongkat Ali susah nak dapat, kena masuk jauh ke dalam hutan. Dia meleretkan daun-daun dari dahan pokok dalam genggamannya dan menyuruh aku mengunyah dau-daun tersebut. Pahit yang amat. Tapi aku gagahkan juga. Usatz kata buat ubat, bagi tenaga. Di sebabkan aku rasa macam nak demam aku kunyah walaupun pahit. Beberapa minit selepas itu aku terasa badan aku panas. Satu badan aku rasa panas. Rasa seram sejuk sudah hilang.

Kami sampai di satu kawasan landai, tidak berapa luas, tepinya ialah jurang. Ada satu binaan kayu dari pokok hutan di dirikan di tebing jurang. Usatz kata itulah pondok tempat dia tinggal. Dulu ada bumbung, sekarang dah rosak. Aku perhatikan pemandangan dari pondok itu sungguh mengasyikkan. Dari situ pemandangan tidak ada halangan. Pandangan sejauh mata memandang ke laut. Nyaman. Aku tanya ustaz macamana talam makanan sampai. Dia kata ada tangan ghaib yang menghulurkan talam. Dia menghabiskan masa siang malam di situ. Bila malam dia ada teman. Aku tak tanya teman macamana. Kadang-kadang ada suara orang mengaji di waktu malam. Aku kagum dengan kisah usatz. Pertama kali aku jumpa orang yang boleh tinggal di atas gunung seorang diri, kemudian bersahabat dengan orang gahib.

Kami meneruskan perjalanan. Tak berapa lama kami sampai di satu kawasan yang berkabus. Aku tidak nampak lagi ada kawasan tinggi di atas kami. Mukabumi di depan kami landai. Kabus tipis berada beberapa kaki di atas kepala kami. Usatz kata tempat itulah puncak Gunung Jerai. Aku terfikir, takkan tak ada orang pernah ke situ. Tapi aku perhatikan memang tidak ada kesan orang pernah ke situ selain ustaz. Tidak ada langsung kesan-kesan tinggalan manusia. Memang tidak ada lagi puncak di atas kami. Kami ketika itu memang berada di atas gunung. Kabus betul-betul di atas kepala kami. Titisan air seperti embun menitis ke tanah. Suasana hening. Permukaan tanah di litupi oleh tumbuhan sepeti lumut hijau. Semacam permaidani hijau dibentangkan di atas tanah. Permukaan tanah bersih. Seperti ada orang yang membersihkan kawasan itu. Pokok-pokok di situ semuanya berbatang kecil. Paling besar ukurlilitnya adalah sebesar lengan bayi. Ketinggian pokok-pokok itu tidak melebihi 8 kaki. Mungkin kalau di kaki gunung saiz lebih besar dan tinggi.

Di sebelah kawasan landai ialah sebuah jurang yang dalam. Aku hanya nampak puncak-puncak pokok di bawah. Ustaz menyuruh aku berhati-hati takut terjatuh. Dia kata di dalam jurang tu ada satu perkampungan jin kafir yang jahat. Tiga tahun sebelum itu ada seorang anggota tentera yang tersesat masuk ke dalam kawasan jurang itu. Selepas 8 bulan baru dia dapat keluar, itu pun dalam keadaan bingung. Kami menghabiskan masa lebih kurang 20 minit di situ, sambil melihat pemandangan. Usatz pula sibuk mencari tumbuh-tumbuhan untuk di bawa pulang. Nak dijadikan ubat, katanya. Kemudian kami meneruskan perjalanan turun. Dalam melangkah aku terdengar suara burung bersahut-sahutan. Aku cuba mengamati bunyi tersebut. Aku tak dapat mengecam suara burung apakah itu. Ustaz tanya adakah aku tahu bunyi suara burung apakah itu. Aku kata tak tau. Dia kata itulah suara burung cenderawasih. Burung cenderawasih tak cecah bumi. Spesis burung ini tinggal di atas awan, bertelur di atas awan dan seluruh hidup di habiskan di atas awan. Bila mati barulah mereka jatuh ke bumi. Hmmm. Menarik.

Waktu sudah menunjukkan jam 6 petang. Suasana di atas gunung makin gelap. Usatz kata kami kena turun waktu itu juga, bimbang tak jumpa jalan keluar. Dia bagi amaran supaya jangan menyalakan lampu kalau gelap. Bimbang ada makhluk penghuni hutan yang marah. Dia juga beritahu jika ingin memanggil kawan jangan panggil nama, cukup dengan laungan ”hoi”. Dia kata dalam hutan ni macam-macam jenis makhluk ada, ada yang baik dan yang jahat. Masa turun lebih susah dari mendaki. Kami turun ikut jalan lain. Ada beberapa kali kami tak nampak kelibat ustaz. Dia jauh di depan. Ada sekali aku terpetik suis lampu picit. Bidin menegur ku. Cepat-cepat aku padamkan. Setelah berjalan selama 40 minit kami sampai di jalan bertar. Kami sampai di jalan yang menghala ke puncak gunung. Setelah beberapa minit kami sampai di pondok tempat meletak kereta.

Semasa kami berehat di pondok untuk mengeringkan pakaian, aku bertanya ustaz macamana kami boleh sampai di puncak gunung dalam masa sekejap, sedangkan kalau berjalan kaki ikut jalan biasa mungkin 2 jam baru sampai. Dia kata dia telah meminta tolong sahabatnya untuk menunjukkan jalan singkat dan selamat. Aku terfikir, betul ke aku dah sampai ke puncak Gunung Jerai yang orang selalu sampai? Atau aku dah masuk ke satu alam lain? Tapi semasa di atas gunung aku tak nampak ada puncak lain di sekeliling ku. Kami telah sampai di satu kawasan landai yang unik dengan dihampari permaidani lumut hijau. Pemandangan yang damai dan hening. Bunyi burung di celah awan. Titisan air dari kabus yang seakan sentiasa dalam keadaan menitiskan air.

Apabila kami sampai ke bilik hotel di Alor Star aku merasa sangat letih. Kesan daun tongkat ali sudah berkurang. Aku merasa letih dan tertidur atas katil. Semua yang lain keluar ke lobby hotel. Aku ingin berehat sebentar, kata ku. Selang beberapa lama aku tertidur, usatz masuk ke bilik kerana ingin menunaikan solat isyak. Aku masih lagi berselimut atas katil. Selesai ustaz solat, dia pun meninggalkan aku seorang di bilik. Kemudian Bidin masuk dan megajak aku makan. Aku pun mandi dan bersiap. Habis makan malam Bidin mengajak aku keluar dengan keluarganya untuk bersiar-siar di bandar. Aku mengelak dengan alasan aku ingin tidur kerana keletihan. Jadi, aku pun masuk ke bilik. Ustaz ada di dalam bilik sedang berborak dengan Rahim. Mereka berdua pun keletihan. Masing-masing pun memilih tempat masing-masing. Ustaz memilih tidur di atas karpet, sementara Rahim pun memilih tidur di sebelah ustaz. Aku pun tanpa banyak soal terus tidur atas katil.

Keesokan harinya, aku bersarapan pagi dengan semua orang di coffee house. Sambil makan sambil berborak. Kami berborak pasal pengalaman mendaki Gunung Jerai. Kemudian ustaz beritahu aku dia nampak ada seorang lelaki tua berjubah dan berserban sedang berdiri di depan katil dan menghadap aku yang sedang tidur. Masa itulah ustaz masuk untuk solat isyak. Apabila ustaz masuk lelaki itu terus hilang dai pandangan. Aku terdiam. Patutlah aku rasa macam ada orang bersama aku di dalam bilik masa tu. Patutlah ustaz dan Rahim tak mahu tidur di atas katil. Mungkin salah seorang dari makhluk ghaib di atas Gunung Jerai telah mengikut aku turun sampai ke dalam hotel. Dari pengalaman aku selepas itu, aku diberitahu ada seorang bangsa jin selalu mendekati ku dan ingin menjadi sahabat ku. Tetapi nasib baik aku ada seorang kawan yang berjaya menghalang niat makhluk itu. Tetapi aku tak dapat menceritakan buat masa ini, mungkin di lain kali.

2 comments: